ISLAMABAD, 30 SEPT – Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan 28 lagi cedera dalam satu kejadian pengeboman nekad di sebuah pusat pendidikan di ibu negara Afghanistan, Kabul, pada pagi Jumaat, lapor agensi Anadolu.
Pengebom berkenaan menyasarkan pelajar di institusi pendidikan Kaaj di kejiranan Dasht e Barchi, di Presint 13 Kabul pada 7:30 pagi waktu tempatan, semasa pemeriksaan masuk pelajar di institusi itu, menurut Khalid Zadran, jurucakap polis ibu negara.
Orang ramai di situ segera minta bantuan, dalam rakaman yang cepat dikongsi di media sosial.
Penyerang telah ditembak mati oleh dua pengawal keselamatan sebelum memasuki bilik darjah, menurut seorang penuntut, Ali Irfani kepada AFP, yang berjaya melarikan diri daripada serangan tersebut. Tiada kumpulan yang segera mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut.
Minggu lepas, bom yang diletakkan di dalam sebuah kereta, meletup di luar sebuah masjid di bandar Kabul di Afghanistan ketika jemaah keluar selepas solat Jumaat, membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan 41 yang lain, termasuk kanak-kanak.
Kumpulan pengganas Daesh mengaku bertanggungjawab atas serangan itu. Mulawai Mujeebur Rehman Ansari, seorang pendakwah Islam pro-Taliban, adalah antara 18 individu yang terbunuh pada 2 September apabila seorang pengebom nekad meletupkan dirinya semasa solat Jumaat di bandar Herat barat. – Bernama/AFP
