Tuesday, February 11, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    19 terima Lencana Keahlian Pengakap Sedunia

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 FEB – Seramai 19 ahli pengakap kelana baharu bagi Pasukan Pengakap Kelana 1102 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) menerima Lencana Keahlian Pengakap Sedunia dalam Istiadat Penyampaian Lencana Keahlian Pengakap Sedunia dan Pemakaian Skaf Pengakap serta Epolet Pengakap Kelana Ahli Pengakap Kelana 1102 UNISSA yang berlangsung di Auditorium UNISSA, Gadong, baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat di istiadat berkenaan ialah Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, UNISSA, Dr Supri bin Haji Sudin dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Haji Junaidi bin Haji Hussin.

    Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, UNISSA, Pesuruhjaya Latihan Pengakap Kebangsaan, Awang Zainudin bin Haji Ishak selaku Jurulatih Pengakap Kelana UNISSA; Penyelaras dan Pemimpin Pasukan Pengakap Kelana UNISSA, Dr Mohammad Alif bin Haji Sismat; Pesuruhjaya Antarabangsa selaku Penyelaras Perutusan Kedamaian bagi Persekutuan PPNBD, Awang Ritchie bin Siabu; Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Perempuan, Hajah Nor Rahmat binti Sidin; Pemangku Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Kelana, Awang Mohammad Najib bin Abdul Hamid; dan Pesuruhjaya Pengakap Daerah Brunei dan Muara, Awang Samsuddin bin Haji Ahmad serta ahli-ahli Pengakap Kelana 1102 UNISSA.

    Seramai 19 orang ahli Pasukan Pengakap Kelana 1102 UNISSA Pengambilan ke-6 bagi semester Ogos – November 2024 hingga Januari 2025 telah dianugerahkan Lencana Keahlian Pengakap Sedunia dan pemakaian skaf Pengakap serta epolet pengakap kelana.

    Di samping itu, majlis turut menyaksikan penyampaian Lencana Kemahiran pengakap Kelana iaitu Lencana Kenegaraan kepada sembilan orang penerima serta penyampaian lencana dan pemakaian skaf dan lencana Perutusan Kedamaian (MoP) kepada 17 orang penerima serta sijil-sijil penyertaan kegiatan.

    Dr Supri bergambar ramai pada majlis yang diadakan di Auditorium UNISSA, Gadong, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN PENGAKAP KELANA 1102 UNISSA

    Terdahulu, ahli-ahli Pengakap Kelana 1102 UNISSA di bawah pengawasan Dr Muhammad Alif telah menjalani sesi latihan kepimpinan dan kemahiran yang telah berlangsung selama 20 minggu untuk ahli-ahli pengakap kelana yang baharu untuk mendapatkan Lencana Keahlian Pengakap Sedunia.

    Mereka terlebih dahulu diajar mengenai penggunaan simbol isyarat jari ketika membuat Hormat Pengakap, melafazkan Persetiaan Pengakap dan tanda isyarat senyap pengakap.

    Manakala penerangan dan latihan praktikal juga diadakan bagi Istiadat Bendera, pengertian Persetiaan Pengakap dan Undang-undang Pengakap, cara melipat bendera bagi menyempurnakan Istiadat Bendera, tatacara penulisan buku log, pemakaian pakaian seragam pengakap yang betul, sejarah penubuhan pergerakan pengakap, latihan asas kawad kaki, struktur pentadbiran dan peranan pengakap kelana, latihan pelbagai jenis ikatan dan simpulan dan membuat perancangan serta persediaan perkhemahan.

    Latihan praktikal meliputi asas perkhemahan, di mana ahli-ahli pengakap kelana diberi pengetahuan tentang pentingnya kerjasama dalam satu pasukan serta diajar secara praktikal cara mendirikan khemah, membuat kraf pengakap, membaca peta dan kompas, ikhtiar hidup bagi menghidupkan api menggunakan kayu dan memasak roti lilit serta masak cara hutan, membuat tempat perlindungan sementara, menunjuk cara penggunaan dan penjagaan peralatan tajam, praktikal ikatan dan simpulan, memasak bagi makan tengahari secara berkumpulan dan permainan berkumpulan.

    Ahli-ahli Pengakap Kelana 1102 UNISSA juga telah mengikuti kursus kepimpinan jati diri dan istiadat melantik ahli pengakap kelana yang berlangsung di Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD), Kem Batang Duri, Daerah Temburong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda