Friday, April 18, 2025
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    190 rumah terjejas insiden kebakaran Putra Heights kembali dihuni

    KUALA LUMPUR, 10 APRIL – Sejumlah 190 rumah yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya Selasa lepas, telah kembali dihuni oleh mangsa selepas pemeriksaan pihak bertanggungjawab mendapati ia selamat untuk diduduki.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata setakat semalam, sebanyak 487 rumah yang terjejas telah diperiksa oleh 12 agensi teknikal termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor Berhad, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Kerja Raya, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Polis Diraja Malaysia.  

    “Daripada jumlah itu, rumah selamat diduduki sebanyak 328 buah dan 190 rumah telah dihuni,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Dalam pada itu, Hussein berkata sebanyak 306 rumah yang terjejas telah dibekalkan tenaga elektrik oleh pihak TNB.

    Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati kawasan berkenaan masih dikawal ketat oleh anggota polis yang bertugas dan hanya penduduk serta pihak yang mempunyai pas khas dibenarkan masuk ke kawasan terjejas.

    Difahamkan, Hussein akan mengadakan sidang media pada jam 4 petang ini bagi memaklumkan perkembangan semasa kerja-kerja menstabilkan tanah di ground zero, susulan terbentuknya kawah sedalam lapan meter dan berkeluasan 70 x 80 meter susulan kebakaran berkenaan.

    Terdahulu pada Selasa lepas, Hussein memaklumkan kerja-kerja menstabilkan tanah telah mencapai 30 peratus selesai.

    Kebakaran saluran gas Petronas pada 1 April lalu menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius, mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya. – Bernama

    Keadaan semasa kawasan kebakaran yang melibatkan saluran paip gas ketika tinjauan Bernama di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, kelmarin. 190 buah rumah boleh diduduki semula. – Gambar fail Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda