NEW YORK, 15 SEPT – Anggota bomba Amerika Syarikat (AS) menggunakan sekitar 190,000 liter air untuk memadamkan kebakaran yang melibatkan trak elektrik Tesla bulan ini selepas berlaku kemalangan, menurut sebuah agensi kerajaan.
Selain menggunakan air untuk menyejukkan bateri kenderaan, anggota bomba di California juga “menggunakan pesawat untuk menyemburkan bahan penghalang api ke kawasan sekeliling sebagai langkah berjaga-jaga,” kata Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.
Kemalangan yang melibatkan kenderaan Tesla itu berlaku pada awal pagi 19 Ogos ketika kenderaan tersebut sedang dalam perjalanan berhampiran Emigrant Gap di California, kata NTSB.
Trak semi yang dikendalikan oleh seorang pekerja Tesla itu dalam perjalanan dari Livermore, California, ke sebuah fasiliti Tesla di Sparks, Nevada.
Kenderaan tersebut tergelincir dari jalan semasa membelok ke selekoh, melanggar sebatang pokok dan kemudian menjunam ke cerun sebelum terhenti di beberapa batang pokok, tambah laporan tersebut.
Pemandunya tidak mengalami kecederaan. – AFP