Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    192 pelajar cemerlang terima penghargaan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MEI – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah-sekolah, Jabatan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Swasta dan Jabatan Pendidikan Khas dengan kerjasama pihak Cambridge Assessment International Education (CAIE) hari ini telah mengadakan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Tahun 2024 bagi pelajar-pelajar yang mencapai kecemerlangan dalam Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE Peringkat ‘A’; International Baccalaureate (IB); Pearson Edexcel UK/GCE International Advanced Level; Brunei-Cambridge GCE Peringkat ‘O’ dan IGCSE; Pearson BTEC Level 2 dan Level 3 Extended Certificate; dan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) bertempat di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian anugerah kepada 192 orang pelajar secara keseluruhannya pada majlis berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Pada majlis berkenaan telah menyaksikan para pelajar yang terdiri daripada sekolah rendah, menengah, maktab dan pusat tingkatan enam kerajaan, swasta dan antarabangsa di seluruh negara telah menerima anugerah mengikut 12 kategori yang telah ditetapkan.

    Kategori-kategori anugerah berkenaan ialah Cambridge Outstanding Achiever Awards Brunei-Cambridge GCE Peringkat ‘A’; Cambridge Outstanding Achiever Awards Brunei-Cambridge GCE Peringkat ‘O’; Brunei-Cambridge GCE Peringkat ‘A’; Anugerah Pendidikan Khas Brunei-Cambridge GCE Peringkat ‘A’; IB; Pearson Edexcel UK GCE / International Advanced Level; Pearson BTEC International Level 3 Extended Diploma; Brunei-Cambridge GCE Peringkat ‘O’ dan IGCSE; Anugerah Pendidikan Khas Brunei-Cambridge GCE Peringkat ‘O’ dan IGCSE; Pearson BTEC Level 2 Extended Certificate; Penilaian Sekolah Rendah (PSR);dan Anugerah Pendidikan Khas Penilaian Sekolah Rendah (PSR).

    Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Awangku Luqman ‘Amri Al-Hakeem bin Pengiran Asmali @ Pengiran Ali Shafie, selaku salah seorang pelajar Tahun 13 dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah Peperiksaan, Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan, Awang Shahrizal bin Haji Emran yang juga selaku pengerusi bersama majlis.

    Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian anugerah kepada para pelajar yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, dan seterusnya diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Universiti, Awang Muhammad Wafiy bin Awang Mohammad.

    Anugerah Pelajar Cemerlang merupakan salah satu inisiatif tahunan Kementerian Pendidikan yang bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada pelajar-pelajar yang menunjukkan prestasi yang cemerlang dan memberangsangkan dalam bidang akademik khususnya di dalam peperiksaan awam dan sebagai dorongan serta galakan kepada pelajar-pelajar supaya lebih bersemangat dan gigih untuk meraih kecemerlangan pembelajaran di masa hadapan.

    Melalui majlis penganugerahan ini, Kementerian Pendidikan turut memberikan penghargaan kepada ibu bapa dan penjaga atas sokongan dan dorongan yang berterusan kepada anak-anak mereka, di samping memberikan pengiktirafan kepada pihak sekolah atas inisiatif yang dilaksanakan sepanjang tahun dalam mencapai keputusan cemerlang di dalam peperiksaan awam.

    Turut hadir di majlis tersebut ialah setiausaha-setiausaha tetap di Kementerian Pendidikan; naib-naib canselor; timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Pendidikan; ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan; pemimpin-pemimpin sekolah serta ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar penerima anugerah.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan menyampaikan hadiah dan sijil kepada penerima. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    ATAS & BAWAH: Dayang Amira Farzana Juani dan Awang Muhammad Danish Azhar semasa menerima anugerah cemerlang mereka. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda