JAKARTA, 13 MAC – Sekurang-kurangnya 193 juta rakyat Indonesia akan pulang ke kampung halaman mereka bagi menyambut Aidilfitri, menimbulkan kebimbangan mengenai kesesakan lalu lintas yang teruk, kata Kementerian Pengangkutan negara itu kelmarin.
“Menurut tinjauan nasional terkini kami, jumlah pengembara di seluruh negara bagi cuti Hari Raya Aidilfitri tahun ini berpotensi mencecah sekitar 193.6 juta atau 71.7 peratus daripada jumlah penduduk negara.
Ini akan menjadi jumlah yang jauh lebih tinggi daripada tahun lepas, yang dicatatkan pada 123.8 juta orang,” kata Menteri Pengangkutan, Budi Karya Sumadi dalam satu kenyataan.
Daripada jumlah pengembara yang diramalkan, kira-kira 28.43 juta daripadanya adalah mereka yang akan mengadakan perjalanan dari Jabodetabek, salah satu bandar paling padat penduduk di dunia, dengan destinasi seperti wilayah Jawa Tengah, Jawa Barat dan Jawa Timur.
Di Indonesia, yang mempunyai penduduk Islam terbesar di dunia, Hari Raya Aidilfitri tahun ini dijangka jatuh pada 9 April. Sudah menjadi kebiasaan bagi umat Islam untuk menyambut perayaan tahunan keagamaan ini bersama keluarga.
Sumadi berkata kerajaan telah bersiap sedia dengan langkah-langkah untuk menjangkakan lonjakan pengembara yang mengakibatkan kesesakan di jalan raya melalui corak perjalanan, pengangkutan dan lalu lintas. – Xinhua


