Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MEI – Seramai 193 orang pegawai dan kakitangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya terdiri daripada 123 orang lelaki dan 70 orang perempuan menerima Pingat Kerja Lama (PKL) sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78 Tahun dengan majlis penyampaian yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan JPM, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian PKL kepada para penerima ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Acara juga diserikan dengan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai yang dipimpin oleh pegawai dan kakitangan dari Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Pegawai Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara, Haji Muhd Azrol Alim bin Haji Zaini.
Majlis tersebut merupakan sebagai pengiktirafan dan penghargaan atas jasa dan sumbangan bakti pegawai dan kakitangan yang telah berkhidmat lebih 20 tahun dengan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Dengan pengurniaan pingat berkenaan diharap akan menyuntik semangat para penerima untuk memberikan perkhidmatan dengan lebih cemerlang lagi pada masa akan datang.