Monday, July 14, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    194 pain darah berjaya dikumpul

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Aktiviti-aktiviti dan kempen pendermaan darah masih menjadi amalan yang berterusan yang jelas dapat kita saksikan di Negara Brunei Darussalam dengan Kementerian Kesihatan melalui Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal akan sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan, institusi-institusi pendidikan, pasukan seragam, sektor swasta serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyelaraskan kempen-kempen bergerak pendermaan darah di kesemua daerah.

    Sehubungan dengan itu, bersempena dengan Hari Penderma Darah Sedunia 2025, Pusat Pendermaan Darah di Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan dan imagine Sdn Bhd mengajurkan bersama kempen derma darah acara besar-besaran yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan selama dua hari iaitu pada 12 dan 14 Jun.

    Pada hari pertama kempen, ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan di mana sebanyak 194 pain darah berjaya dikumpulkan semasa kempen diadakan bermula pukul 8 pagi hingga pukul 11 pagi dan pukul 1 petang hingga pukul 3 petang.

    Para penderma darah yang menyertai kempen berkenaan menyatakan perasaan amat teruja kerana bukan sahaja dapat menabur khidmat bakti kepada masyarakat, tetapi amat berbesar hati diberikan peluang untuk membantu golongan yang memerlukan khususnya yang memerlukan bekalan darah.

    Kempen berkenaan akan diadakan pada 14 Jun dan oleh itu, orang ramai yang berminat untuk menderma darah adalah dialu-alukan untuk sama-sama hadir, menghulurkan bantuan dan menderma darah bagi golongan yang memerlukan.

    Hari Penderma Darah Sedunia diraikan pada 14 Jun setiap tahun di seluruh dunia di mana ia dikhususkan bagi menzahirkan penghargaan kepada semua penderma darah yang secara sukarela menderma tanpa mengharapkan sebarang imbalan daripadanya.

    Di samping itu, sambutan itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keperluan dan kepentingan pendermaan darah yang berterusan bagi menjamin bekalan darah dan produk-produk darah yang mencukupi, selamat dan berkualiti bagi kegunaan pesakit-pesakit yang memerlukan.

    Atas & bawah:  Antara yang telah menyertai kempen tersebut. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda