Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Seramai 195 Rekrut Lelaki Pengambilan ke-177 telah berjaya menamatkan Latihan Asas Ketenteraan dan diraikan melalui Upacara Perbarisan Tamat Latihan yang berlangsung di Padang Kawad Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB), Penanjong Garison hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada upacara berkenaan ialah Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Brigedier Jeneral Aldi Bin Haji Hassan. Turut hadir ialah para timbalan Pemerintah Angkatan Tentera, pegawai kanan, pegawai serta anggota dari Kementerian Pertahanan bersama isteri serta keluarga dan penjaga anggota-anggota rekrut yang diraikan.
Upacara dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan oleh Brigedier Jeneral Aldi dan disusuli dengan penyampaian ucapan.

Dalam ucapannya, Brigedier Jeneral Aldi menzahirkan tahniah kepada para rekrut yang berjaya menamatkan latihan asas ketenteraan selain mengingatkan mereka untuk terus mengekalkan nilai teras ABDB dengan berdisiplin, menimba ilmu dan taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta negara supaya ABDB diyakini akan terus berwibawa dan sentiasa bersedia menghadapi cabaran keselamatan masa kini dan akan datang.
Brigedier Jeneral Aldi menyampaikan ucapan semasa upacara berkenaan.
Sebagai penghargaan atas kecemerlangan sepanjang latihan, beberapa anugerah telah disampaikan kepada rekrut dan jurulatih dalam kategori masing-masing dengan penyampaian anugerah disempurnakan oleh Brigedier Jeneral Aldi.
Semua di atas: Antara suasana semasa upacara perbarisan tersebut.
Bagi Rekrut Lelaki Pengambilan ke-177, Rekrut Dazraan bin Dahlan telah dinobatkan sebagai Rekrut Terbaik Keseluruhan, manakala Rekrut Mohammad Qamarul Islam Fadlullah bin Mohammad Bakhtiar menerima anugerah Terbaik dalam Kemahiran Ketenteraan.
Bagi kategori Terbaik dalam Latihan Senjata Ringan, anugerah telah diberikan kepada Rekrut (U) Mohammad Syahmi bin Mohammad Shah, sementara Rekrut Muhammad Nurfadhilah Fid’aiy bin Zainur Riza dianugerahkan sebagai Terbaik dalam Latihan Jasmani.
Selain itu, Koperal Muhammad Amin Redzwan bin Dudy Irawan dipilih untuk menerima Anugerah Ketua Seksyen Terbaik dan Sarjan (U) Muhammad Danial bin Fidzan dipilih sebagai Platun Sarjan Terbaik atas kepimpinan dan komitmen cemerlang yang diperlihatkan sepanjang latihan.
Semua di atas: Antara rekrut yang menerima anugerah semasa upacara berkenaan.
Upacara diakhiri dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Kapten Awangku Muhammad Nur Hafizan bin Pengiran Haji Hasan dari Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT).
Upacara Perbarisan Tamat Latihan itu bukan sahaja menandakan berakhirnya latihan asas ketenteraan tetapi turut meraikan perjalanan transformasi mereka menjadi anggota tentera ABDB sepenuhnya, bersedia untuk memikul amanah mempertahankan kedaulatan Negara Brunei Darussalam.

GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

