Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Seramai 196 orang imam telah dilantik bagi mengimamkan sembahyang Sunat Tarawih bagi tahun 1445H/2024M dan penyampaian surat-surat lantikan telah diadakan di Masjid Ash-Shaliheen, kelmarin.
Imam-imam berkenaan terdiri daripada 27 orang pegawai masjid, 22 orang tenaga pengajar sebagai pemantau, 122 penuntut dan 25 lepasan pelajar Institut Tahfiz
Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), yang sama ada sedang berkhidmat dengan kerajaan atau yang sedang menyambung pengajian di peringkat tinggi di dalam dan luar negara, dan mereka akan ditempatkan di 82 buah masjid di seluruh negara.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan surat lantikan imam tarawih pada majlis yang diadakan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama ITQSHHB itu ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Misle bin Haji Abdul Karim.
Antara objektif penempatan imam daripada kalangan pelajar dan lepasan pelajar ITQSHHB berkenaan adalah untuk membolehkan mereka mengulang kaji dan memantapkan hafazan serta agar mereka diberikan pengalaman sebagai seorang imam.
Dengan penglibatan mereka sebagai imam di masjid yang telah diaturkan akan dapat menarik lebih ramai jemaah untuk menghadiri sembahyang Sunat Tarawih dan sebagai salah satu langkah untuk anak-anak tempatan khususnya para belia dalam mentakmir dan mengimarahkan lagi masjid di bulan Ramadan yang akan datang ini.
Terdahulu sebelum hari penyerahan surat lantikan, para imam yang dilantik telah diberikan taklimat secara teori dan praktikal tentang Aqwal wa Af’aa sembahyang Sunat Tarawih, agar mereka dapat memahami kaifiyyat mengimam yang betul termasuk bacaan, tuma’ninah, pergerakan dalam sembahyang agar tidak terlalu cepat dan yang berkaitan dengannya.