Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    197 pelajar sertai majlis khatam

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Seramai 197 pelajar Tahun 10 Fast Track dan Tahun 11, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran, pagi tadi, telah menyertai Majlis Khatam Al-Quran di dewan serba guna sekolah berkenaan.

    Majlis terdahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh tetamu kehormat, Penolong Pengarah Perkhidmatan Korporat, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Haslinah Susanti binti Haji Mohd Hassan.

    Majlis turut dihadiri oleh para jemputan khas dari JPI serta ibu bapa dan penjaga para pelajar.

    Majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, bacaan Takhtim Al-Quran oleh pelajar-pelajar Tahun 9 dan diikuti dengan bacaan Doa Khatam Al-Quran oleh pelajar Tahun 11, Awang Muhammad Nur ‘Alim bin Abdullah Nordin.

    Majlis diserikan lagi dengan bacaan Dikir Marhaban oleh pelajar-pelajar Tahun 9 dan turut menyaksikan tetamu kehormat menyampaikan sijil khatam Al-Quran.

    Sebelum bersurai, Doa Selamat dibacakan oleh Awang Muhamad Ilham Syakirin bin Haji Muhamad Salleh bagi memberkati majlis.

    Majlis khatam berkenaan bertujuan untuk melahirkan rakyat celik Al-Quran dan menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai satu budaya dalam merealisasikan hasrat pembentukan generasi Al-Quran dan negara zikir.

    Antara tujuan majlis seumpamanya diadakan ialah agar para pelajar sentiasa istiqamah mendampingi Al-Quran dalam kehidupan seharian dan menjadikan Al-Quran sebagai pedoman dan petunjuk hingga ke akhir zaman.

    Dayang Haslinah Susanti menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar semasa Majlis Khatam Al-Quran di Dewan Serbaguna Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Sebahagian peserta khatam membaca surah-surah lazim semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda