$19,820 wang zakat diagihkan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Sejumlah $19,820 agihan wang zakat telah disampaikan kepada sebanyak 47 buah keluarga yang terdiri daripada asnaf fakir dan miskin pada Majlis Penyampaian Agihan Zakat Wang Tunai kepada Asnaf Fakir Miskin Menjelang Hari Raya Tahun 1440H/2019M yang berlangsung di Masjid Kampung Lumapas, hari ini.

Hadir bagi menyempurnakan penyerahan wang zakat berkenaan ialah Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim selaku ahli Jawatankuasa Mengeluarkan Wang Zakat, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).

Pada tahun ini sebanyak $1,333,570 telah diperuntukkan kepada 8,435 orang penerima yang terdiri daripada asnaf fakir dan miskin di seluruh negara. Peruntukkan ini diambil daripada Kumpulan Wang Zakat Asnaf Fakir dan Miskin melalui kutipan Zakat Fitrah dan Zakat Harta tahun 1439H/2018M.

Hanya sebahagian daripada jumlah lapan penerima di seluruh negara akan menerima agihan di masjid-masjid manakala sebahagian yang lain akan menerimanya melalui akaun bank masing-masing.

Dengan adanya agihan zakat ini diharap akan dapat meringankan beban asnaf fakir dan miskin serta dapat menampung perbelanjaan menjelang Hari Raya yang bakal tiba, di samping sentiasa berhemat cermat dalam berbelanja. Semoga para asnaf fakir miskin sekeluarga akan sentiasa taat menunaikan perintah Allah SWT dan menjauhi segala laranganNya.

Awang Misle menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima, kelmarin.