PRETORIA, 29 OGOS – Sekumpulan pemandu teksi yang marah telah memecah masuk beberapa kedai milik warga asing dan mencuri barangan di dalamnya sebelum bertindak membakar premis terbabit di ibu kota Afrika Selatan pada Rabu selepas seorang warga asing didakwa membunuh rakan mereka sehari sebelum itu, lapor agensi berita Turki Anadolu.
Insiden itu berlaku ketika rusuhan yang menyaksikan pemandu teksi turun ke jalanan di Pretoria pada Selasa untuk berdepan dengan pengedar dadah apabila seorang warga Nigeria melepaskan tembakan dan menyebabkan seorang pemandu teksi maut.
Pada pagi esoknya, kumpulan pemandu teksi itu disertai perusuh yang terdiri daripada penduduk Afrika Selatan lain mula bertindak memecah masuk dan mencuri barangan di dalam kedai milik warga asing, terutama dari Nigeria.
‘’Saya telah mengarahkan para pegawai saya untuk melakukan siasatan rapi terutama pihak yang terlibat dalam jenayah semasa rusuhan ini seperti memecah masuk dan mencuri barangan dalam kedai serta membakar bangunan,” kata Pesuruhjaya Polis Gauteng, Leftenan Jeneral Elias Mawela kepada pemberita di Pretoria.
Polis berkata sekurang-kurangnya tujuh kedai telah dibakar manakala beberapa lagi dipecah masuk dan barangan dicuri.
Polis melepaskan tembakan peluru getah dan bom tangan gegaran atau stun grenad bagi menenangkan keadaan ketika beberapa kumpulan pemandu teksi mengancam untuk menyerang dan menggantung pemilik kedai rakyat asing di ibu kota itu. – Bernama
