KUALA LUMPUR, 31 OKT – Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat telah mencapai penyelesaian untuk mendapatkan semula aset bernilai lebih AS$700 juta yang diperoleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau Jho Low, dan keluarganya menggunakan dana yang didakwa diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam satu kenyataan, DoJ berkata aset itu terletak masing-masing di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Switzerland.
Dengan muktamadnya penyelesaian itu, bersekali dengan pelupusan kes pelucutan hak sebelum ini, Amerika Syarikat akan memperoleh semula atau membantu dalam pemerolehan aset bernilai lebih AS$1 bilion yang mempunyai kaitan dengan skim pengubahan wang haram antarabangsa dan rasuah 1MDB, menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut ini merupakan pemerolehan terbesar setakat ini di bawah Inisiatif Pemerolehan Aset Kleptokrasi jabatan berkenaan dan pelucutan hak sivil terbesar yang pernah diselesaikan oleh DoJ.
“Perjanjian penyelesaian ini mengakibatkan Low dan keluarganya terpaksa melepaskan beratus-ratus juta dolar yang diperoleh secara haram, yang sepatutnya digunakan bagi manfaat rakyat Malaysia,” Penolong Peguam Negara Brian A. Benczkowski daripada Bahagian Jenayah Jabatan Keadilan itu dipetik sebagai berkata.
Benczkowski menegaskan ia memberi isyarat bahawa Amerika bukanlah tempat yang selamat bagi pelaburan yang diperoleh melalui rasuah. Dalam kenyataan berasingan, Jho Low mengesahkan penyelesaian telahpun dicapai dengan kerajaan Amerika berhubung kes pelucutan hak sivil.
Menurutnya, ia “menyelesaikan sepenuhnya dan selama-lamanya setiap tindakan sivil, jenayah dan pentadbiran atau prosiding kerajaan Amerika berkaitan dengan aset defendan yang menjadi isu itu di Daerah Tengah California.
Jho Low, bagaimanapun, menegaskan perjanjian itu tidak sepatutnya dianggap sebagai pengakuan bersalah, liabiliti atau sebarang bentuk salah laku oleh beliau atau pemilik aset. – Bernama