Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    2.2 tan kokain dirampas di Ireland

    DUBLIN, 27 SEPT – Kapal kargo yang diserbu oleh pasukan tentera laut Ireland di pantai selatan Ireland didapati membawa sekatan dadah bernilai berjuta-juta dolar, kata pihak polis di Dublin hari ini.

    Menurut pihak berkuasa, lebih daripada 2.2 tan kokain bernilai kira-kira AS$165 juta ditemui selepas pemeriksaan pada kapal MV Matthew yang berdaftar di Panama.

    “Ini merupakan rampasan dadah terbesar dalam sejarah negara,” kata Justin Kelly, jurucakap polis, sambil menambah bahawa tiga kru kapal telah ditangkap dan ditahan.

    Kapal kargo yang panjangnya 189 meter itu dirampas kelmarin oleh pasukan tentera laut Ireland selepas melepaskan tembakan amaran. Mereka menaiki kapal itu dan membawanya ke pelabuhan Cork di mana ia kini ditahan.

    Menteri Kehakiman Ireland, Helen McEntee, berkata dadah yang dibawa pastinya akan diarahkan ke pasaran Ireland dan Eropah.

    “Ini akan menjejaskan geng jenayah terancang yang terlibat dalam pengedaran dadah secara antarabangsa,” katanya.

    Menurut Irish Times, pihak polis menjejaki kapal tersebut selepas mensyaki membawa kokain dari Amerika Selatan dan menghantar dadah kepada kapal-kapal kecil di laut.

    Pada Ahad lalu, selepas sebuah bot penangkap ikan terdampar di sebuah bank pasir di pantai tenggara Ireland, pihak polis menyelamatkan dua lelaki dari bot tersebut sebelum menangkap mereka selepas mensyaki melakukan jenayah terancang. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda