LONDON, 29 JUN – Pihak berkuasa Britain telah merampas 2.4 tan metrik kokain daripada sebuah kapal yang tiba di England dari Panama, menurut kenyataan kelmarin, dengan rampasan itu disifatkan sebagai antara yang terbesar dalam beberapa tahun di United Kingdom (UK).
Dadah berkenaan, yang dianggarkan bernilai £96 juta, ditemui di bawah kontena di atas sebuah kapal di pelabuhan London Gateway, yang terletak di timur ibu negara Britain. Rampasan tersebut dibuat hasil daripada operasi yang diketuai berdasarkan risikan, kata pegawai.
Kementerian Dalam Negeri UK menyatakan bahawa ia merupakan rampasan kokain keenam terbesar pernah direkodkan.
Pengarah Maritim Pasukan Sempadan UK, Charlie Eastaugh berkata rampasan tersebut adalah ‘satu contoh bagaimana pegawai maritim Pasukan Sempadan yang berdedikasi sentiasa di hadapan kumpulan penjenayah yang mengancam keselamatan kita.
“Pesanan kami kepada penjenayah ini adalah jelas – lebih daripada sebelumnya, kami menggunakan risikan dan kerjasama penguatkuasaan undang-undang antarabangsa untuk menggagalkan serta menghancurkan operasi awda.”
Menurut Agensi Jenayah Kebangsaan, Britain merupakan salah satu pasaran terbesar di Eropah bagi kokain. Kerajaan UK turut melaporkan bahawa jumlah kematian berkaitan kokain di England dan Wales meningkat sebanyak 31 peratus antara tahun 2022 dan 2023. – AP


