Sunday, May 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    2.45 juta tiket Piala Dunia terjual

    ZURICH, 18 OGOS – Penjualan tiket Piala Dunia mencecah 2.45 juta, menurut FIFA hari ini, dengan lebih 500,000 tempat duduk masih boleh didapatkan tiga bulan sebelum kejohanan bermula di Qatar.

    FIFA berkata 520,000 tiket dijual semasa fasa penjualan siapa cepat dia dapat, yang tutup pada minggu ini. Perlawanan Brazil menentang Serbia dan Cameroon antara yang paling banyak permintaan.

    Sepuluh tempat teratas berdasarkan ranking penjualan tiket kepada penduduk termasuk Qatar dan negara-negara jiran Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu. Amerika Syarikat (AS), England, Mexico, Perancis, Argentina, Brazil dan Jerman turut berada dalam senarai yang diterbitkan oleh FIFA.

    Harga tiket termurah untuk peminat dari luar Qatar adalah AS$69. Peminat perlu mengesahkan pembelian tiket untuk menempah tempat tinggal di Qatar menerusi laman sesawang rasmi kejohanan.

    Sebanyak 64 perlawanan di lapan buah stadium di dalam dan sekitar Doha bermula 20 November dan mempunyai jumlah kapasiti keseluruhan kira-kira tiga juta tiket.

    Manakala dua juta tiket sudah diperuntukkan bagi penjualan umum dan satu juta tiket diperuntukkan untuk pihak berkepentingan FIFA seperti ahli persekutuan, penaja dan penyiar, termasuk program hospitaliti.

    Sebelum ini FIFA berkata ia menerima tiga juta permintaan tiket untuk perlawanan akhir Piala Dunia pada 18 Disember – iaitu Hari Kebangsaan Qatar – di Stadium Lusail yang boleh menampung 80,000 orang penonton.

    Penjualan tiket kini digantungkan dengan FIFA berjanji akan memberikan perkembangan pada lewat September mengenai pusingan akhir penjualan.

    Kebiasaannya lebih banyak tempat duduk boleh didapatkan ketika pihak berkepentingan memulangkan tiket yang diperuntukkan untuk mereka, dan semasa Piala Dunia daripada peminat yang pasukan mereka sudah tersingkir. – AP

    Penjualan tiket Piala Dunia mencecah 2.45 juta dengan lebih 500,000 tempat duduk masih boleh didapatkan tiga bulan sebelum kejohanan bermula di Qatar. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda