2 ahli akademik UBD dilantik profesor

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV – Dalam perkembangan bersejarah di persada akademik Brunei, dua orang ahli akademik Brunei iaitu Profesor Ampuan Dr Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah dan Profesor Dr Haji Awang Asbol bin Haji Mail baru-baru telah dilantik sebagai profesor penuh atas rekod cemerlang mereka dalam pembelajaran, perkhidmatan serta kecemerlangan akademik.

Menurut kenyataan Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini, pelantikan itu merupakan satu peristiwa bersejarah kerana kali pertama dalam sejarah UBD, cendekiawan Brunei telah meningkat melalui pangkat dalam UBD untuk mencapai kemuncak akademik iaitu jawatan profesor penuh.

Kenyataan menyatakan bahawa Profesor Ampuan Dr Haji Brahim menyertai UBD sebagai seorang tutor pada 1989 dan beransur naik ke jawatan pensyarah, pensyarah kanan dan profesor madya.

Sebagai seorang pakar dalam pengajian kesusasteraan Melayu, beliau telah menerbitkan lebih 100 penerbitan termasuk lima buku akademik dan lima karya kreatif.

Reputasi akademik yang terbilang memperolehnya keahlian dalam Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) serta persatuan sastera, ASTERAWANI.

ATAS & BAWAH: Profesor Dr Haji Awang Asbol (atas) dan Profesor Ampuan Dr Haji Brahim telah dilantik sebagai profesor penuh atas rekod cemerlang mereka. – Gambar serahan UBD

Sepanjang perkhidmatannya di UBD, beliau telah berkhidmat sebagai dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS) dan pengarah Akademi Pengajian Brunei (APB) serta Pusat Pengajian Islam Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOASCIS). Perkhidmatan contohnya telah diiktiraf dengan menerima pingat PIKB (1997), SMB (2012) dan SNB (2017).

Pencapaian kerjaya paling dibanggakan beliau ialah apabila dikurniakan Anugerah Guru Cemerlang Kebangsaan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 2015. Pada 2005, beliau telah menerima Anugerah SEA Write Award.

Sementara itu, Profesor Dr Haji Awang Asbol bermula sebagai guru terlatih di
Sekolah Menengah Jamalul Alam (SMJA) di mana apabila menamatkan pengajian dengan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama, dilantik sebagai tutor di Jabatan Sejarah, FASS.

Mahir dalam sejarah Brunei, Melayu Islam Beraja (MIB) dan Ketamadunan Melayu, beliau telah menerbitkan banyak artikel jurnal, bab-bab buku dan buku termasuk The History of Education in Brunei 1950-1985 (2005) dan History of the 19th Century Bruneian Sultanate (2011).

Beliau juga telah ditauliahkan oleh pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Pusat Sejarah Brunei untuk menulis dan mengumpulkan penerbitan khas. Beliau juga merupakan bekas timbalan pengarah APB.

Perkhidmatan kerajaan dan pencapaian akademiknya telah diiktiraf dengan pengurniaan pingat PIKB 92005), PKL (2006) dan SMB (2012). Beliau juga dikurniakan Anugerah Guru Cemerlang Kebangsaan pada 2013.

Dalam kenyataan, Profesor Ampuan Dr Haji Brahim merakamkan penghargaan yang mendalam kehadapan majlis Baginda Sultan bagi memperkenankan pelantikannya.

Beliau juga menyatakan penghargaan kepada pentadbiran dan rakan-rakan sejawatan di UBD yang telah menyokong dan mengiktiraf kepakarannya di mana pelantikan itu akan menjadi satu pendorong bagi ahli-ahli akademik lain untuk memberikan prestasi yang baik kepada negara.

Menyuarakan sentimen serupa, Profesor Dr Haji Awang Asbol turut merakamkan penghargaan kehadapan majlis Baginda Sultan, UBD dan rakan-rakan sejawatan yang sentiasa memberikan sokongan padanya.

Beliau berharap untuk terus mempromosikan UBD di persada antarabangsa menerusi penyelidikan, penerbitan dan seminar. Beliau menyeru rakan-rakan sejawatannya untuk terus mencapai kejayaan dalam bidang kemahiran masing-masing serta untuk terus berkhidmat dengan taat.