Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menahan lima orang lelaki warga tempatan dan asing yang disyaki terlibat dalam satu kes pergaduhan pada 19 Julai lalu di Limau Manis.
Menurut kenyataan daripada PPDB, laporan mengenai pergaduhan menggunakan senjata tajam itu diterima kira-kira jam 10:40 malam hari tersebut, yang mengakibatkan kecederaan parah.
Sejurus menerima laporan, anggota Balai Polis Limau Manis segera berkejar ke tempat kejadian dan mendapati pergaduhan telah dileraikan, dengan dua lelaki warga tempatan kelihatan cedera parah. Manakala suspek lain telah meninggalkan tempat kejadian.
Mangsa-mangsa segera dibawa ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut sementara suspek telah pun ditahan
reman.
Kes disiasat di bawah di bawah Seksyen 326, Hukum Kanun Jenayah Penggal 22 iaitu mendatangkan cedera parah menggunakan senjata dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan sebat.
Sehubungan itu, pihak polis memohon kerjasama orang ramai supaya mengongsikan apa jua maklumat ke talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan serta boleh disalurkan melalui e-mel laman sesawang PPDB www.polis.gov.bn ataupun Instagram @upa.ppdb.
