VILLOGNON, Perancis, 1 Mac – Seorang anggota polis Perancis secara tidak sengaja telah terlepas tembakan dan mencederakan dua mangsa pada acara ketika Presiden Francois Hollande memberi ucapan di barat daya Perancis.
Hollande pada ketika itu sedang merasmikan sebahagian laluan kereta api berkelajuan tinggi di Villognon, di rantau Charente, apabila insiden itu berlaku.
Anggota polis berkenaan sedang membantu untuk mengawal keselamatan bagi presiden secara tidak sengajanya telah terlepas tembakan.
Tembakan itu terlepas ketika anggota polis terbabit mengubah kedudukan mereka di atas bumbung, kira-kira 100 meter dari lokasi khemah yang menempatkan Hollande di sini.
Ketua kerajaan tempatan, Pierre N’Gahane berkata anggota berkenaan ‘telah berdiri di tempat tinggi dan senjata itu terlepas tembakan secara tidak sengaja’.

“Peluru itu menembusi kanvas khemah penyediaan air minuman, terkena paha seorang pelayan lelaki dan betis seorang lagi mangsa,” katanya menambah mangsa berada dalam kawasan VIP berhampiran dekat dengan tempat Hollande bercakap.
Tembakan itu menyebabkan ucapan Hollande terganggu seketika tetapi keadaan tidak bertukar menjadi panik.
Mangsa-mangsa telah dirawat di tempat kejadian di kawasan berasingan tempat presiden Perancis memberi ucapan, sebelum dirawat oleh anggota bomba, yang mengesahkan kecederaan itu ‘ringan’.
Bagaimanapun, N’Gahane memberitahu para wartawan kedua-dua mangsa ‘tidak dalam bahaya’ dan siasatan telah dijalankan.
N’Gahane juga memberitahu para wartawan yang Hollande sempat melawat dua mangsa sebelum pulang. – AFP