2 dipenjara atas kesalahan imigresen

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Seorang lelaki dan wanita warga Indonesia yang didakwa tinggal melebihi masa dan memberi perlindungan kepada pesalah imigresen telah dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Majistret, kelmarin.

Arifin Iskandar Sodiq, 49, dijatuhi hukuman enam bulan penjara dan tiga sebatan oleh Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman selepas mengaku bersalah tinggal melebihi masa iaitu selama 1,053 hari setelah pas lawatannya tamat tempoh.

Sementara itu, Winarsih, 39, yang mengaku bersalah atas tuduhan memberi perlindungan kepada pesalah imigresen dijatuhi denda $3,000 atau berdepan tiga bulan penjara jika gagal membayar.

Kedua-dua tertuduh diberkas dalam Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan yang menyasarkan bilik-bilik sewa di kawasan Jalan Sultan pada 6 November 2019.

Pendakwaan dibuat Pegawai Pendakwa Imigresen, Adi Yusra bin Haji Adanan.