Saturday, July 26, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    2 disyaki dalang kes samun bersenjata ditembak

    KUALA LUMPUR, 25 JULAI – Polis menembak mati dua lelaki warga asing disyaki dalang utama kumpulan samun bersenjata dan pecah rumah dalam kejadian di Jalan Semerah Padi, Cheras, awal pagi tadi.

    Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata hasil risikan mendapati kedua-dua suspek sedang mengenal pasti sasaran baharu sebelum pasukan polis melakukan serbuan kira-kira jam 3:45 pagi.

    “Mereka menaiki sebuah kereta jenis Honda Civic berwarna putih dipercayai kenderaan curi pada 2023 di Subang Jaya dan ketika cubaan memintas, berlaku kejadian berbalas tembakan mengakibatkan kedua-dua suspek maut di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

    Fadil berkata pihaknya turut menemukan pelbagai peralatan pecah rumah, sejumlah dadah, dua pucuk senjata api jenis revolver dan separuh automatik dalam kenderaan berkenaan.

    Siasatan mendapati kedua-dua lelaki itu disyaki terbabit dalam 50 kes pecah rumah dan samun bersenjata serta terlibat aktiviti berkaitan dadah sejak 2022, membabitkan kerugian lebih RM3 juta.

    Geng penjenayah itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan jenayah di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak.

    Beliau berkata kumpulan terbabit dipercayai mempunyai kira-kira 15 ahli dan polis kini sedang giat mengesan saki-baki ahli kumpulan berkenaan. – Bernama

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda