2 ditahan cuba bawa masuk barang tidak diisytiharkan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Dua orang warga tempatan ditahan oleh anggota Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kerana dipercayai membawa masuk barangan berupa buah-buahan yang tidak diisytiharkan kelmarin.

Kereta dipandu salah seorang daripadanya ditahan sekitar jam 1:03 petang di kawasan berdekatan Taman Mini Belalong, Daerah Temburong kerana didapati dalam keadaan mencurigakan.

Anggota PPDB segera memeriksa pengenalan diri dan kenderaan, lalu menemukan sejumlah bungkusan plastik yang berisi buah-buahan disimpan di bahagian tempat duduk penumpang bahagian belakang serta bonet belakang kenderaan.

Kedua-dua suspek terdiri daripada seorang lelaki dan perempuan masing-masing berusia 47 dan 46 tahun. Buah-buahan yang dibawa mereka termasuklah 40 biji buah durian, lima biji buah tarap, tujuh plastik buah jering seberat 69kg dan satu plastik buah langsat seberat 20kg semuanya dirampas oleh PPDB.

Kes mereka dan barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut.

Buah-buahan yang dipercayai tidak diisytiharkan ditemui dalam sebuah kenderaan bersama dua orang individu di kawasan berdekatan Taman Mini Belalong, Daerah Temburong, kelmarin. – Gambar serahan PPDB