Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    2 ditangkap kerana curi kertas peperiksaan

    SEOUL, 16 JULAI – Seorang guru dan seorang ibu kepada pelajar sekolah menengah di Korea Selatan telah ditahan kerana menceroboh masuk ke sekolah untuk mencuri kertas peperiksaan, polis memberitahu AFP hari ini.

    Korea Selatan memang terkenal dengan penekanan yang melampau terhadap pencapaian akademik  sehinggakan ada arahan operasi kapal terbang terpaksa dihentikan sebab ujian pendengaran bahasa Inggeris sedang dilaksanakan.

    Pasangan tersebut dituduh menceroboh untuk mencuri kertas peperiksaan di sebuah sekolah menengah di Andong, kira-kira 270 kilometer di selatan ibu kota Seoul, pada kira-kira jam 1 pagi pada 4 Julai lalu setelah loceng penggera sekolah berbunyi.

    “Seorang guru berusia 31 tahun dan ibu berusia 48 tahun telah mengaku melakukan jenayah itu,” kata seorang detektif di Balai Polis Andong, yang enggan dikenali.

    Guru itu adalah tutor persendirian bagi pelajar berkenaan dan pernah bekerja di sekolah tersebut sehingga Februari tahun lalu, kata pihak berkuasa.

    Polis turut mengesyaki pasangan itu mungkin melakukan kecurian yang sama pada masa lalu, dalam usaha membantu pelajar mencapai prestasi akademik, dengan mengambil sejumlah wang upahan antara guru dan ibu tersebut.

    “Mereka cuba mencuri kertas peperiksaan merentasi banyak mata pelajaran, bukan hanya bahasa Korea yang diajar oleh suspek,” kata detektif itu kepada AFP.

    Seorang pekerja di sekolah tersebut turut ditahan kerana bersubahat membantu pencerobohan lewat malam tersebut, kata penyiasat.

    Pelajar terbabit yang mengekalkan gred tertinggi sejak mendaftar pada 2023 telah dibuang sekolah dan grednya dibatalkan, menurut agensi berita Yonhap.

    Kejadian tersebut menjadi yang kes terbaru dalam siri skandal berkaitan peperiksaan dalam negara dengan kuasa ekonomi keempat terbesar di Asia tersebut.

    Hampir 250 guru sekolah awam dan swasta ditangkap menjual soalan peperiksaan kepada institusi swasta dalam tempoh enam tahun yang memberi pendapatan purata AS$61,000 seorang, menurut badan audit negeri itu pada Februari. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda