BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan telah memasukkan dua entiti iaitu Dinar Dirham Koin (DDK) dan Skim Pelaburan SMMG (Skim Dana Self Made Millionaires Group) ke dalam Alert List AMBD bagi bulan Disember 2019.
Alert List AMBD adalah senarai individu, syarikat dan laman web yang tidak diberi kebenaran atau kelulusan di bawah undang-undang dan peraturan-peraturan di bawah kawalan AMBD, atau mana-mana aktiviti yang menimbulkan kecurigaan akan berlaku aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Senarai tersebut adalah tanpa prejudis kepada sebarang penilaian lanjut oleh AMBD mengenai aktiviti-aktiviti syarikat berkenaan.
AMBD juga menyatakan kemas kini mengenai Alert List dan senarai syarikat-syarikat dan individu yang dilesenkan oleh AMBD juga boleh didapati di laman web AMBD di www.ambd.gov.bn.
AMBD dalam kenyataannya akan terus mementingkan kestabilan kewangan Negara Brunei Darussalam dan mengutamakan pelindungan sistem kewangan dan kepentingan pengguna kewangan di Negara Brunei Darussalam. AMBD juga akan terus memantau sebarang aktiviti kewangan yang mencurigakan atau tidak berlesen di negara ini. Jika orang ramai mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti yang tidak berlesen, sila hubungi AMBD melalui talian 2380007 atau e-mel melalui fci@ambd.gov.bn.