MOSCOW, 24 DIS – Dua orang dilaporkan hilang manakala 14 lagi berjaya diselamatkan selepas sebuah kapal kargo Rusia karam di Laut Mediterranean, menurut Pusat Pengurusan Krisis Kementerian Luar Negeri Rusia hari ini, lapor Xinhua.
Kapal kargo Ursa Major, milik syarikat Rusia SK-YUG karam selepas letupan berlaku di bilik enjin, menurut pusat itu dalam satu kenyataan.
Kesemua 16 kru merupakan warganegara Rusia dan mereka yang diselamatkan telah dibawa ke bandar pelabuhan Cartagena di Sepanyol.
Kapal itu berlepas dari St Petersburg 12 hari lalu dan dijadual tiba di pelabuhan Vladivostok di Rusia Ahad lalu, menurut data daripada penyedia analisis maritim, MarineTraffic. – Bernama