PILSEN, 13 DIS – Rasmus Hojlund menjaringkan dua gol selepas diturunkan dari bangku simpanan dan Manchester United bangkit tewaskan Viktoria Plzen 2-1 dalam Liga Europa kelmarin.
Penyerang Denmark itu menjaringkan gol pada minit ke-88 selepas menerima hantaran Bruno Fernandes dari sepakan percuma untuk melakar kemenangan dan meletakkan United di kelompok lapan teratas.
Sebelum itu, Hojlund menggantikan Marcus Rashford pada minit ke-56 dan menjaringkan gol penyamaan enam minit kemudian selepas rembatan Amad Diallo ditepis oleh penjaga gol Martin Jedlička dan bola jatuh ke hadapannya untuk disudahkan dengan mudah.
“Rasanya bagus untuk menjaringkan dua gol tetapi saya lebih gembira dengan kemenangan ini,” kata Hojlund. “Arahan saya? Pergi ke sana dan jaringkan dua gol! Hanya guna kualiti saya, buat larian dan bersikap tegas di hadapan gol.”
United bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris menyebabkan kelab itu berada di tangga ke-13 dan ketinggalan lapan mata daripada empat teratas kerana kurang kemajuan di bawah jurulatih baharunya, Ruben Amorim.
United mempunyai 12 mata daripada enam perlawanan selepas tiga kemenangan dan tiga seri dalam perlawanan Liga Europa adalah cukup baik untuk United yang berada di tempat ketujuh. – AP