LONDON, 8 ARPIL – Declan Rice mengakui dua sepakan percuma yang cemerlang olehnya dalam kemenangan Arsenal 3-0 menumpaskan juara bertahan Liga Juara-Juara, Real Madrid, sudah lama dirancang.
Rice menjaringkan gol dengan dua sepakan percuma yang hebat pada separuh masa kedua perlawanan pertama suku akhir di Stadium Emirates kelmarin.
Rembatan umpama roket dari jarak jauh pemain tengah England itu disusuli dengan jaringan Mikel Merino ketika Arsenal melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2009.
Ia suatu keputusan yang luar biasa, lebih-lebih lagi apabila Rice tidak pernah menjaringkan sepakan percuma dalam kariernya sehingga ledakan jaringannya melepasi penjaga gol Real, Thibaut Courtois.
“Ia telah lama berada dalam simpanan, tetapi percubaan saya sering kali terkena dinding atau melepasi palang,” kata Rice.
“Pada mulanya, kami hanya mahu membuat hantaran lintang tetapi saya melihat kedudukan dinding dan penjaga gol. Jadi saya fikir teruskan sahaja.
“Jaringan yang kedua saya mempunyai keyakinan. Saya teruja dan sangat gembira. Tetapi dalam masa beberapa tahun lagi ini akan mengingatkan saya bahawa apa yang saya lakukan malam ini benar-benar istimewa.”
Kemenangan mengejutkan Arsenal itu hanyalah ganjaran dari persembahan pasukan yang mantap dan matang yang mengambil kesempatan daripada Real yang dilanda kecederaan, yang diasak kehebatan The Gunners pada separuh masa kedua.
Namun sekalipun Arsenal, yang tidak pernah memenangi Liga Juara-Juara, berada di kedudukan terdepan untuk mara ke suku akhir, Rice tidak berniat untuk memandang rendah juara Eropah 15 kali itu.
“Kami perlu bersedia untuk minggu depan. Bagaimana rasanya bermain di Benabeu nanti. Kami perlu bersedia,” ujarnya. – AFP
