Wednesday, January 1, 2025
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    2 jurulatih timba pengalaman liga futsal profesional Indonesia

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Dua jurulatih dari Kelab Almerez Hitune FC iaitu Haji Muhammad Abdul Azim bin Haji Zakeria dan Muhammad Afiq Afandi bin Roslan Jalanee, berpeluang meneroka, menimba pengalaman serta berkongsi idea bersama jurulatih-jurulatih profesional Pro Futsal League Indonesia 2024/2025 di Dewan Bung Karno, Sukoharjo, Indonesia, baru-baru ini

    Kedua-dua jurulatih yang mengadakan lawatan kerja itu,berpeluang menyaksikan secara dekat serta mempelajari pelbagai aspek penting dalam kejohanan futsal daripada jurulatih-jurulatih profesional dari kelab-kelab futsal Indonesia.

    Antara jurulatih terkenal yang ditemui termasuk Ketua Jurulatih Futsal Kebangsaan Indonesia, Hector Souto; Ketua Jurulatih Fafage Banua FC, Sayan Karmadi; Ketua Jurulatih Blacksteel Papua FC, Sergio; Ketua Jurulatih Rafley FC; Qusmaini Noor dan Ketua Jurulatih Sadakata FC, Fandy Frima.

    “Pertemuan ini memberikan saya pandangan baru tentang pengurusan pasukan, taktikal, serta pembangunan pemain yang berkesan,” jelas Haji Muhammad Abdul Azim.

    Beliau menambah bahawa salah satu perkara utama yang dipelajari ialah pendekatan berbeza antara pemain tahap profesional dan semi-profesional, terutamanya daripada segi pengurusan jadual harian.

    Ini termasuk pentingnya corak tidur yang teratur, pemakanan, dan nutrisi yang sesuai bagi memastikan pemain sentiasa berada pada tahap fizikal dan mental yang optimum.

    Beliau juga menyaksikan kewujudan akademi yang ditubuhkan oleh kelab-kelab elit sebagai asas perancangan jangka panjang, di samping menjadi platform untuk melahirkan bakat muda yang mampu menyumbang kepada pasukan utama.

    “Hampir semua pasukan profesional di Indonesia menggunakan teknologi canggih seperti alat Heart Rate Detectors yang digunakan semasa latihan dan perlawanan untuk memantau kadar denyutan jantung pemain.”

    “Data ini membolehkan jurulatih mengenal pasti tahap intensiti pemain, menentukan waktu rehat yang sesuai, dan memastikan mereka sentiasa beraksi pada tahap optimum. Penggunaan teknologi ini bukan sahaja meningkatkan prestasi individu tetapi juga membantu jurulatih membuat keputusan taktikal secara lebih efektif,” jelasnya lagi.

    Beliau menegaskan bahawa pengalaman yang berharga dan amat bermakna itu menjadi inspirasi untuk membantu menerapkan dan memajukan futsal di Brunei Darussalam, bukan sahaja di peringkat pasukan tetapi juga dalam membentuk struktur latihan dan pembangunan jangka panjang yang lebih profesional.

    Haji Muhammad Abdul Azim dan Muhammad Afiq Afandi semasa lawatan ke Pro Futsal League Indonesia 2024/202 berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KELAB ALMAREZ HITUNE FC
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda