Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Kapal Tentera Laut India INS SHIVALIK dan INS KADMATT akan berlabuh di negara ini pada 9 hingga 12 Ogos ini untuk mempererat lagi ikatan persahabatan yang kuat antara India dan Negara Brunei Darussalam.
Semasa lawatan tersebut, kru kapal Tentera Laut India akan berinteraksi secara profesional dengan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) untuk meningkatkan kerjasama dan operasi antara kedua-dua pasukan.
Pada masa yang sama, kapten kapal laut berkenaan juga akan mengadakan panggilan secara maya dengan pegawai kanan TLDB.
Kapal-kapal itu juga akan melakukan interaksi secara maya, latihan pelabuhan, latihan laluan dan komunikasi dengan TLDB yang bertujuan untuk memperkuat persefahaman antara tentera laut dan berkongsi amalan terbaik.
Kegiatan kerjasama tersebut akan dilakukan di bawah protokol dan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang cukup ketat.
INS SHIVALIK adalah kapal utama dalam kelasnya iaitu stealth multi-role frigates of Indian Navy. Ia dilengkapi dengan sistem senjata canggih termasuk klub dan peluru berpandu antikapal supersonik Brahmos, peluru berpandu anti-pesawat Shtil dan Barak, peluru berpandu anti-kapal selam 90R dan Torpedo DTA-53.
Sementara, INS KADMATT merupakan Corvette Anti-Submarine Warfare (ASW) yang dibina oleh Garden Reach Ship Builders & Engineers (GRSE) Kolkata. Ia dilengkapi dengan pelbagai senjata termasuk senjata utama 76 mm, sistem peluru berpandu Barak-1, torpedo dan pelancar roket.
Meskipun ini adalah lawatan kali pertama INS SHIVALIK dan INS KADMATT ke negara ini, ia adalah lawatan kedua kapal tentera laut India tahun ini di mana pada awal Mei lalu, INS JALASHWA tiba di Pelabuhan Muara untuk mengutip silinder Liquid Medical Oxygen (LMO) yang disumbangkan oleh masyarakat India di Brunei.
