Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Dua buah kapal tentera laut milik Angkatan Maritim Pertahanan Diri Jepun (JMSDF), JS Uraga dan Awaji singgah di Pelabuhan Muara hari ini.
Ketibaan kedua-dua buah kapal itu telah disambut oleh Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB).
Kapal tersebut akan berada di negara ini selama tiga hari dan membawa 200 anggota tentera laut Jepun, termasuk termasuk 35 pegawai bertauliah, di bawah Komando Divisyen Satu Minesweeper, Kapten Nakai Eiichi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, pegawai pemerintah JS Uraga dan Awaji turut mengalu-alukan kedatangan Kaunselor/Timbalan Ketua Misi Jepun di Negara Brunei Darussalam, Suda Atsushi dan para pegawai TLDB.
Pertemuan diakhiri dengan pertukaran cenderamata antara Kapten Nakai Eiichi dan pegawai dari TLDB, sebagai tanda mengukuhkan ikatan mereka.
Satu jamuan makan tengahari yang dihoskan oleh JS Uraga juga telah diadakan di samping satu lagi jamuan tengah hari akan dihoskan oleh TLDB esok.
Lawatan bertujuan untuk membangunkan dan memupuk pengetahuan dan kemahiran asas serta perspektif antarabangsa dan menggalakkan hubungan mesra dengan negara-negara pelabuhan.