Oleh Arissa
LIMBANG, 28 April – Seorang remaja lelaki maut, manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang mereka tunggang merempuh sebuah jentolak yang diletakkan di bahu jalan Rangau menuju ke Lapangan Terbang baharu Limbang malam tadi.
Mangsa Muhammad Syazwan Mahadi, 19, dan rakannya Abu Khair Usop, 14, cedera parah dalam kemalangan yang berlaku jam 8:30 malam dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Namun Muhammad Syazwan meninggal dunia jam 3 pagi tadi, manakala Abdul Khair belum sedarkan diri dan dilaporkan koma dan masih dirawat di hospital Limbang.
Abang kembar Muhammad Syazwan, Muhammad Safwan, 19, yang menunggang motosikal berasingan mengalami kecederaan ringan.

Difahamkan lokasi kejadian agak gelap menyebabkan mangsa tidak menyedari jentolak yang diletakkan di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Mohd Bukhori Saffai mengesahkan kejadian itu dan menambah kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam kes berasingan mayat seorang lelaki warga Filipina ditemui tertiarap di atas tanah berlumpur, selepas dihempap pokok balak di sebuah kem pembalakan di Jalan Kubong tengah hari semalam.
Mangsa Joiney Carbosa, 46, bersama rakannya melakukan kerja menebang balak di kem terbabit jam 8 pagi.
Mohd Bukhori berkata selepas berhenti makan sekitar jam 12 tengah hari, rakannya cuba mencari mangsa dan mendapati mangsa tertiarap di atas tanah berlumpur, di bawah dahan kayu balak yang baharu ditebangnya.
“Sebaik menyedari mangsa tidak lagi bernyawa, rakannya melaporkan kejadian itu kepada penyelia kem. Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.