NEW DELHI, 5 NOV – Sebuah kereta api penumpang melanggar sebuah kereta api kargo di tengah India kelmarin, mengorbankan sekurang-kurangnya lapan mangsa dan mencederakan beberapa lagi, kata seorang pegawai kanan kerajaan.
Kejadian itu berlaku berhampiran bandar Bilaspur, kira-kira 115 kilometer di timur laut ibu negeri Chhattisgarh, Raipur.
Saluran televisyen tempatan menunjukkan pertembungan dua kereta api terbabit dengan pasukan penyelamat sedang mencari mangsa terselamat di antara serpihan di tempat kejadian.
Kereta api penumpang tempatan itu melanggar kereta api kargo dari belakang menyebabkan salah satu koc berada di atas gerabak kereta api kargo, kata pegawai kerajaan kepada AP.
Lebih banyak korban dijangka kerana terdapat ‘dua atau tiga’ penumpang tambahan terperangkap di dalam koc yang remuk, kata pihak berkuasa.
Selepas berusaha berjam-jam, pasukan penyelamat berjaya menarik turun koc kereta api penumpang yang rosak dan menggunakan kren dan pemotong besi untuk cuba membukanya.
Antara mereka yang disahkan terkorban adalah pemandu lokomotif kereta api penumpang manakala pembantu pemandu, seorang wanita, cedera parah dan dimasukkan ke hospital swasta.
Kira-kira 20 penumpang cedera dalam kemalangan itu dan telah dibawa ke hospital tempatan untuk rawatan.
Dalam satu kenyataan, pengendali rangkaian Indian Railways berkata ia telah menggerakkan semua sumbernya untuk usaha menyelamat dan mula menjalankan siasatan mencari puncak kemalangan selain mengumumkan bantuan kewangan untuk keluarga mangsa yang terlibat. – AP


