2 kes import baharu dikesan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Negara Brunei Darussalam mencatatkan dua kes import baharu COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 255 orang.

Kes 254 dan 255 merupakan lelaki masing-masing berusia 36 dan 45 tahun yang tiba ke negara ini dari Indonesia pada 6 Jun lalu dan tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan.

Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan hari ini, penyiasatan dan pengesanan kontak mengesahkan tidak ada kontak terdekat bagi kedua-dua kes tersebut memandangkan mereka telah dikuarantin sebaik saja tiba di negara ini dan keseluruhan pengendalian perjalanan semasa ketibaan dan pengasingan diri mereka telah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada.

Sementara itu, satu kes sembuh telah dicatatkan pada hari ini, menjadikan kes yang aktif kepada lapan kes.

Kesemua kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan adalah dalam keadaan yang baik.

Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 ialah pada 6 Mei 2020 (410 hari yang lalu), di mana jumlah kes import sejak kes jangkitan terakhir tempatan dilaporkan ialah sebanyak 114 kes.

Selain itu, sejumlah 660 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala 20,209 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Dalam tempoh 24 jam lalu, sebanyak 227 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal sejak Januari 2020 kepada 137,172 ujian.

Manakala sejumlah 66,972 orang telah menerima dos pertama dan kedua vaksin sejak Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19 diimplementasikan pada 3 April lalu.

Sejumlah 11,967 telah mene-rima dua dos lengkap manakala 55,005 pula baru menerima dos pertama setakat 19 Jun, jam 5 petang.