MONTIVIDEO, 2 April – Dua kelasi Filipina berjaya diselamatkan ketika kapal kargo yang membawa 24 anak kapal yang dilaporkan hilang sebelum ini, tenggelam di Lautan Atlantik, kata tentera laut Uruguay, semalam.
Jurucakap tentera laut, Gaston Jaunsolo berkata, empat kapal dagang yang berada di lokasi kejadian menjumpai tiga bot getah dan menyelamatkan dua anak kapal rakyat Filipina.
Menurut tentera laut, kapal itu membuat panggilan kecemasan mengadu berlaku kebocoran serius, pada jam 2:00 petang, Jumaat lalu.
Jaunsolo berkata, disebabkan kedudukan kapal itu yang berada jauh di luar perairan Uruguay, kira-kira 3,700 kilometer dari Montevideo, tentera laut meminta bantuan empat kapal dagang yang berada berhampiran kawasan itu.
Katanya, kapal pertama yang sampai ke tempat kejadian, mengesan bau kuat bahan api dan menjumpai serpihan, petunjuk kapal yang rosak itu sudah tenggelam.
Kapal malang itu dikatakan bertolak dari pelabuhan Brazil dan tidak diketahui destinasi tujuan.
Brazil menghantar pesawat untuk membantu usaha pencarian.
Kru kapal Stella Daisy, ‘Very Large Ore Carrier’ (VLOC), kapal kargo gergasi dengan kapasiti lebih 260,000 tan, membawa bersama 16 rakyat Filipina dan lapan Korea.
Usaha mencari mangsa lain masih diteruskan. – AFP