Monday, July 21, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    2 lagi hutan simpan di Sabah dapat sijil perakuan FSC

    SANDAKAN, 29 Mei – Dua lagi Hutan Simpan (FR) di Sabah kini diperakukan di bawah Majlis Pengawasan Tanah (FSC) yang diiktiraf antarabangsa.

    Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Perhutanan Sabah (SFD) berkata FR Trusan Sugut dan FR Ulu Kalumpang – Mt. Wulldersdorf telah dengan jayanya mematuhi syarat FSC dan telah memperoleh sijil perakuan sebagai hutan diurus dengan baik bagi tempoh lima tahun dari 16 Mei 2017 sehingga 15 Mei 2022. FR Trusan Sugut ialah Hutan Simpan Kelas 1 yang keseluruhannya seluas 8,680 hektar terletak di daerah Beluran di pantai timur Sabah.

    “Hutan simpan itu ialah hutan tanah pamah yang unik menggabungkan spesies dipterocarp, paya air tawar, paya bakau dan hutan pantai. Ia menyediakan kawasan yang selamat untuk pelbagai jenis mamalia yang jarang ditemui dan diancam kepupusan, unggas dan pelbagai pokok dan spesies dipterocarp,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, FR Ulu Kalumpang – Mt. Wullersdorf yang kaya dengan spesies dipterocarp secara keseluruhannya seluas 64,953.74 hektar dan kali terakhir pembalakan dijalankan di kawasan itu pada 1986, merupakan sumber air yang penting bagi seluruh daerah Tawau dan Kunak. Berikutan pertambahan kawasan hutan simpan itu, Sabah kini mempunyai sejumlah 746,564.91 hektar hutan yang diberi sijil perakuan dengan 675,691.68 hektar di bawah pengurusan hutan semulajadi (NFM) dan 70,873.23 hektar di bawah penanaman pokok.

    Sijil FSC itu disampaikan oleh Dr. Yap Son Kheong daripada SCS Global Services, Amerika Syarikat kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, disaksikan oleh Datuk Sam Mannan, Ketua Pemuliharaan Hutan dan Fidelis Edwin Bajau, Timbalan Ketua Pemuliharaan Hutan (Pembangunan) pada majlis Malam Inovasi jabatan itu baru-baru ini. Jabatan itu kini dalam proses mendapatkan sijil perakuan di bawah FSC bagi beberapa lagi kawasan hutan yang diurus dengan baik untuk tempoh tiga tahun akan datang. SFD berkata dengan perkadaran jumlah keseluruhan kawasan tanah itu, Sabah kini menjadi peneraju bagi kawasan hutan yang mendapat sijil perakuan itu di Asia Tenggara. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda