NAIROBI, 3 JAN – Dua orang lelaki ditahan berhubung pembunuhan pelari Olimpik Uganda, Benjamin Kiplagat, yang ditemui maut ditikam di dalam kereta di Kenya pada Malam Tahun Baharu, kata polis Isnin lalu.
Pisau yang disyaki digunakan dalam pembunuhan Kiplagat yang berusia 34 tahun ditemui pada salah seorang suspek, kata komander polis daerah Moiben, Stephen Okal. Motif pembunuhan didakwa sebagai rompakan, katanya, kerana wang dan telefon bimbit telah diambil dari Kiplagat.
Leher Kiplagat dikelar, kata polis. Dia ditemui mati di dalam kereta abangnya awal Ahad lalu di pinggir Eldoret, sebuah bandar altitud tinggi di barat Kenya yang terkenal sebagai pangkalan latihan untuk atlet elit.
Kiplagat bertanding dalam tiga temasya Olimpik dan enam kejohanan dunia dalam acara Lari Berhalangan 3,000 meter (m). Dia memenangi pingat gangsa pada kejohanan Afrika 2012.
Kiplagat adalah atlet keempat yang terbunuh di kawasan itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Juara dunia rentas desa dua kali, Agnes Tirop, juga maut ditikam di rumahnya, berhampiran bandar Iten pada 2021. Suaminya sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh.
Manakala mayat pelari Bahrain kelahiran Kenya, Damaris Muthee, yang reput telah ditemui di rumah seorang atlet lelaki Ethiopia pada 2022. Atlet itu adalah suspek utama kematiannya tetapi belum ditahan.
Pelari Rwanda, Rubayita Siragi, pula terbunuh pada Ogos lalu, di mana kes tersebut dipercayai polis sebagai pergaduhan dengan seorang atlet lain kerana seorang wanita. – AP
