Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Nov – Dua lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara dan sebat oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan tinggal melebihi tempoh di negara ini.
Arifuddin, 26, dijatuhi hukuman lima bulan penjara dan tiga sebatan oleh Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain atas tuduhan tinggal selama 191 hari selepas pas kerjanya mansuh pada 26 April 2017.
Tertuduh turut dilaporkan telah melarikan diri daripada majikannya.
Manakala itu, Husni, 22, pula dipenjarakan selama 10 bulan serta tiga sebatan apabila didapati tinggal selama 585 hari selepas pas melawat yang dikeluarkan kepadanya mansuh pada 29 Mac 2016.
Pegawai Pendakwa Imigresen, Pengiran Norariffin bin Pengiran Haji Hashim memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua tertuduh telah diberkas sepasukan penguat kuasa imigresen yang menjalankan pemeriksaan di Jalan Maraburong pada 4 November 2017.