Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    2 letupan ragut 22 jiwa di Pakistan

    PAKISTAN, 7 FEB – Kira-kira 22 orang terbunuh hari ini dalam dua letupan bom berasingan di luar pejabat calon pilihan raya di barat daya Pakistan, menjelang undian nasional yang dicemari dengan keganasan dan dakwaan penipuan undi.

    Lebih setengah juta pegawai keselamatan ditempatkan menjelang pilihan raya esok, di mana pihak berkuasa mengedarkan kertas undi kepada lebih 90,000 pusat mengundi.

    Terdapat beberapa insiden keselamatan semasa menjelang pengundian, di mana dua orang calon telah ditembak mati dan berpuluh-puluh lagi disasarkan dalam serangan di seluruh negara.

    Alat letupan buatan (IED) pertama membunuh 12 orang berhampiran pejabat calon bebas di daerah Pishin, sekitar 50 kilometer (km) dari bandar Quetta dan 100km dari sempadan Afghanistan, hari ini.

    Menteri penerangan sementara bagi wilayah Balochistan, Jan Achakzai, dan polis Quetta berkata 25 orang turut cedera.

    IED kedua meletup berhampiran pejabat pilihan raya calon parti Jamiat Ulama-e-Islam-F (JUI-F) di bandar Killa Saifullah kira-kira 120km timur, menurut Achakzai.

    “Kira-kira10 orang terbunuh dan 12 yang lain cedera,” katanya kepada AFP.

    “Insiden itu berlaku di bazar utama kawasan bandar, di mana pejabat pilihan raya JUI-F menjadi sasaran,” kata seorang pegawai kanan polis kepada AFP.

    Pada Julai tahun lalu, 44 orang terbunuh oleh pengebom berani mati dalam perhimpunan politik parti itu di barat laut wilayah Khyber Pakhtunkhwa. – AFP

    Anggota keselamatan memeriksa tapak letupan bom di luar pejabat calon bebas di daerah Pishin, sekitar 50 kilometer dari Quetta pada 7 Februari, menjelang pilihan raya kebangsaan Pakistan. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda