Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Dua penuntut Universiti Brunei Darussalam (UBD), Awang Mohammad Jeffry bin Haji Latip dan Dayang Azirah Nabila binti Dato Razali, telah terpilih mewakili Negara Brunei Darussalam di Sidang Kemuncak Tindakan Hijau Belia Asia 2025 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.
Sidang kemuncak berprestij tersebut telah berlangsung dari 3 hingga 4 Mei dan menghimpunkan seramai 40 delegasi belia cemerlang dari seluruh Asia. Acara ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap isu alam sekitar, mempromosi inovasi hijau serta memperkukuhkan inisiatif kemapanan yang dipelopori oleh generasi muda.
Selain itu, ia juga menyediakan platform penting bagi para pemimpin muda untuk bekerjasama merangka penyelesaian serantau dalam menangani cabaran alam sekitar yang semakin mendesak.
Delegasi Brunei telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada 2 Mei lalu dengan membawa semangat dan iltizam belia negara untuk menyumbang kepada agenda kelestarian alam sekitar di peringkat serantau dan antarabangsa.
Pemilihan kedua-dua mahasiswa UBD ini bukan sahaja mencerminkan komitmen mereka terhadap advokat alam sekitar, malah turut mencerminkan usaha UBD dalam memperkasa mahasiswa agar aktif menyuarakan pendapat dalam isu-isu global dan penggubalan dasar yang relevan.
Sidang kemuncak tersebut turut bertujuan merumuskan satu pengisytiharan bersama serta pelan hala tuju tindakan alam sekitar yang dipimpin belia di seluruh Asia, sebagai sebahagian daripada usaha bersepadu ke arah masa depan yang lebih lestari.
