Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Seramai 69 murid Darjah VI daripada sekolah-sekolah ugama di negara ini berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran dan diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran pada petang kelmarin.
Majlis tahunan berkenaan turut menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT dan memberi galakan agar peserta terus istiqamah membaca dan menghayati Al-Quran dalam kehidupan seharian.
Sekolah Ugama Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Kampung Saba, Kampung Ayer menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran meraikan 18 peserta khatam di dewan sekolah berkenaan yang disempurnakan oleh Ketua Unit Perhubungan Awam, Jabatan Pengajian Islam, Awang Izwandy bin Haji Hamdan.
Acara diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta, diikuti bacaan Takhtim, Doa Khatam serta persembahan Dikir dan diikuti acara penyampaian sijil khatam kepada para peserta sebelum majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Semua di atas: Antara suasana semasa majlis khatam di Sekolah Ugama Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Kampung Saba, Kampung Ayer.
Sementara itu, Sekolah Ugama Sultan Sharif Ali, Kampung Salambigar telah menganjurkan majlis yang sama bagi meraikan 51 murid Darjah VI yang terdiri daripada 27 murid lelaki dan 24 murid perempuan. Majlis disempurnakan oleh Pegawai Pengajian Islam Daerah bagi Kawasan IIB, Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Dayang Hajah Salmaya binti Haji Asmat.
Majlis Khatam Al-Quran yang dianjurkan adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi celik Al-Quran yang berakhlak mulia dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.
Sokongan ibu bapa turut menyumbang kepada kejayaan penganjuran, sekali gus mengeratkan silaturahim bersama warga sekolah. Inisiatif ini adalah usaha berterusan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memperkukuh penghayatan agama dalam kalangan murid serta memperteguh syiar Islam di negara ini.
Semua di atas: Antara suasana semasa majlis khatam di Sekolah Ugama Sultan Sharif Ali, Kampung Salambigar.

