KOTA KINABALU, 30 NOV – Dua makmal ujian COVID-19 di negeri ini apabila siap dan beroperasi kelak bakal meningkatkan kapasiti ujian daripada 2,750 sampel sehari kepada 3,150 sampel sehari, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.
Beliau berkata Makmal PCR Modular Bergerak di Hospital Lahad Datu telah dipasang dan proses menguji dan memeriksa (T&C) dijadualkan hari ini, manakala proses naik taraf Makmal Molekular Jabatan Patologi di Hospital Tawau kini 95 peratus siap dan dijangka menjalani T&C pada Rabu ini.
“Apabila siap dan beroperasi nanti dua makmal ini kapasiti ujian sampel (COVID-19) masing-masing ditingkatkan kepada 200 sampel sehari, membolehkan kita menambah kapasiti ujian kepada 400 sampel sehari.
Penambahan kapasiti 400 sampel ini penting kerana ini akan membantu mengurangkan jumlah sampel tertunggak dan tahun depan kita akan tingkatkan kapasiti daripada 3,150 kepada 4,000 sampel sehari,” katanya pada sidang media COVID-19 kerajaan negeri di sini, malam ini.
Sementara itu, beliau berkata sidang khas Majlis Keselamatan Negara telah bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri membenarkan aktiviti selam skuba di negeri ini kerana aktiviti itu dikategorikan sebagai aktiviti sukan dan rekreasi yang tiada sentuhan fizikal.
“Bagaimanapun, penyelam tidak dibenarkan melakukan rentas daerah. Sekiranya penyelam dari Kota Kinabalu hanya dibenarkan menyelam di daerah itu, tidak boleh rentas daerah pergi ke Semporna pula untuk menyelam,” katanya. – Bernama