MEDAN, INDONESIA, 20 MAC – Dua maut, manakala 26 lagi hilang selepas sebuah feri membawa puluhan penghijrah karam di luar pantai Indonesia, kata seorang pegawai hari ini.
Bot nelayan kayu itu membawa 89 penumpang ketika ia berlepas ke negara jiran, Malaysia melalui laluan tidak dikawal, namun mengalami kebocoran sejurus berlepas sebelum dilanda ombak kuat dan tenggelam.
Seorang lelaki dan seorang wanita ditemui mati, manakala 61 yang lain diselamatkan dan segera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan. Baki penumpang lain masih hilang.
“Kami sudah mengerahkan anggota untuk mencari 26 mangsa yang hilang, namun usaha tidak membuahkan hasil setakat ini,” kata ketua pasukan mencari dan menyelamat tempatan, Ady Pandawa kepada AFP hari ini dan mengesahkan bot yang rosak sudah dipindahkan ke pelabuhan terdekat.
Beliau berkata bahawa kebanyakan penumpang di dalam bot terbabit berasal dari seluruh Indonesia dan mereka sedang dalam perjalanan mencari kerja di Malaysia tanpa dokumen sah.
“Kami mengesyaki jumlah penumpang melebihi kapasiti bot, jadi apabila kapal itu dipukul ombak kuat, ia serta-merta tenggelam,” katanya.
Malaysia yang disifatkan negara mewah menjadi kediaman kepada jutaan pendatang dari kawasan lebih miskin di Asia, kebanyakan mereka tidak berdokumen, bekerja dalam industri termasuk pembinaan dan pertanian. – AFP
