SEOUL, 25 DIS – Dua orang terkorban manakala 29 lagi cedera dalam kebakaran membabitkan sebuah pangsapuri 27 tingkat di Seoul hari ini, lapor Xinhua memetik agensi berita Yonhap.
Kebakaran tercetus di tingkat tiga bangunan kira-kira 4:57 pagi waktu tempatan.
Dua orang lelaki berusia 30an dan seorang wanita berusia 70an telah dibawa ke hospital akibat serangan jantung, namun dua daripadanya meninggal dunia.
Semasa proses pemindahan, 28 orang cedera akibat terhidu asap dan 20 daripada mereka dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
Api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira tiga jam kemudian. Sebanyak 57 buah jentera dan lebih 200 orang anggota dikerah ke lokasi kejadian. Punca kejadian sedang disiasat. – Bernama


