TOKYO, 6 JAN – Dua maut manakala tiga lagi hilang selepas sebuah bot nelayan terbalik di perairan Wilayah Ibaraki, timur Jepun, awal pagi tadi, lapor Xinhua yang memetik laporan media tempatan.
Bot nelayan yang membawa 20 orang itu terbalik kira-kira 2:05 pagi berhampiran pelabuhan di Kashima, Wilayah Ibaraki, timur laut Tokyo, lapor Kyodo News memetik pihak berkuasa tempatan.
Seramai 15 orang berjaya diselamatkan, manakala dua lelaki berusia dalam lingkungan 50an dan 60an disahkan meninggal dunia, menurut laporan itu.
Pengawal Pantai Jepun percaya bot itu mungkin terbalik akibat terlalu banyak ikan yang tersangkut dalam jaring, menyebabkan ia hilang keseimbangan.
Pasukan Pengawal Pantai dan pihak berkuasa lain masih meneruskan operasi mencari mangsa yang hilang. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/01/P19-R1-WEB-FREEPIK-712025.jpg)