ABUJA, 25 OGOS – Pasukan penyelamat sedang mencari mangsa yang terselamat kelmarin selepas sebuah bangunan runtuh di ibu negara Nigeria menyebabkan dua orang maut manakala ramai lagi dikhuatiri terperangkap, kata pegawai kecemasan.
Bangunan dua tingkat di daerah Garki yang padat penduduknya di ibu negara Abuja runtuh semasa hujan lebat lewat Rabu, kata saksi. Ia digunakan sebagai pusat membeli-belah dan blok kediaman dan beberapa mangsa yang terperangkap dipercayai pembeli.
Nkechi Isa, jurucakap Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) di bandar itu berkata 37 orang setakat ini telah dikeluarkan hidup-hidup dari runtuhan itu.
Beliau berkata usaha menyelamat akan diteruskan sehingga runtuhan diperiksa sepenuhnya.
Kru menggunakan jengkaut dan jentolak untuk membersihkan serpihan bagi mencari mangsa yang terselamat. Sejumlah besar orang yang berkumpul di jalan di mana bangunan itu berdiri bersorak ketika pasukan penyelamat mengeluarkan mangsa yang masih hidup. Yang lain menunggu berita tentang saudara mereka yang hilang.
Samuel Japhet nyaris terperangkap dalam runtuhan selepas memasuki bangunan untuk membeli minuman.
“Kami membeli minuman dan pergi, belum sampai 30 minit kejadian itu berlaku,” kata Japhet.
Bangunan runtuh semakin berleluasa di negara paling ramai penduduk di Afrika dengan puluhan kejadian seumpama itu direkodkan pada tahun lalu, termasuk awal Ogos apabila sebuah masjid runtuh di negeri barat laut Kaduna, mengorbankan tujuh orang. – AP


