BEIRUT, 1 JAN – Tentera Laut Lubnan dan Pasukan Pengaman Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini telah menyelamatkan lebih daripada 200 orang migran daripada sebuah bot yang sedang karam di Laut Mediterranean beberapa jam selepas ia meninggalkan utara pantai Lubnan, kata pihak tentera dalam satu kenyataan. Dua orang migran telah terbunuh dalam insiden berkenaan.
Kenyataan pihak tentera mengatakan bahawa kapal tersebut membawa orang “yang cuba meninggalkan kawasan perairan Lubnan secara tidak sah.” Tiga buah bot tentera laut Lubnan dan satu daripada pasukan pengaman PBB di Lubnan, yang dikenali sebagai UNIFIL, telah menyelamatkan seramai 232 orang migran.
Laporan dari Tripoli, bandar di utara Lubnan, yang merupakan bandar kedua terbesar dan paling miskin, mengatakan bahawa warga Lubnan, Syria dan Palestin, yang terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak berada di atas bot tersebut dan meninggalkan utara Lubnan selepas tengah malam Jumaat. Penduduk Tripoli yang berhubung dengan mangsa yang terselamat mengatakan mangsa yang meninggal dunia merupakan seorang wanita Syria dan kanak-kanak Syria.
UNIFIL berkata dalam satu kenyataan bahawa Pasukan Petugas Maritim sedang membantu tentera laut Lubnan dalam operasi mencari dan menyelamat di kawasan laut antara Beirut dan Tripoli “di mana sebuah bot dalam kecemasan bersama bilangan penumpang yang besar telah dijumpai. Kapal Indonesia dan Greek kami berada di tempat kejadian.”
“Kami akan terus menyalurkan bantuan,” kata UNIFIL. – AP
