YREKA, AMERIKA SYARIKAT, 1 OGOS – Anggota bomba di utara California bergelut hari ini untuk mengawal kebakaran hutan terbesar di negeri itu tahun ini, yang meragut dua nyawa selepas ia mengganas dalam skala besar pada hujung minggu dan memaksa ribuan berpindah dari rumah mereka.
Dibadai angin kencang dan ribut petir, kebakaran McKinney melanda kawasan kering negeri itu, kelmarin, hingga merebak ke kira-kira 52,500 ekar Hutan Negara Klamath berhampiran bandar Yreka – dan sifar peratus dibendung setakat malam kelmarin menurut CalFire.
California dan bahagian lain di barat Amerika Syarikat telah dimusnahkan oleh kebakaran hutan yang besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini, didorong oleh kemarau bertahun-tahun dan diburukkan lagi oleh pemanasan iklim.
Kebakaran McKinney, yang berlaku Jumaat lalu dekat sempadan dengan Oregon, adalah kebakaran hutan terbesar di California setakat tahun ini – walaupun ia kekal lebih kecil daripada Dixie Fire tahun lepas, yang membakar hampir satu juta ekar.
Menurut Pejabat Syerif Daerah Siskiyou, anggota bomba kelmarin menemui dua orang terkorban di dalam kereta yang terbakar di jalan masuk sebuah rumah di komuniti Sungai Klamath – di laluan kebakaran.

Bercakap kepada ABC News, Syerif Jeremiah LaRue berkata anggota bomba mengesyaki pasangan itu terperangkap dalam api yang bergerak pantas ketika mereka cuba melarikan diri.
Gabenor California Gavin Newsom telah mengisytiharkan darurat, dengan mengatakan kebakaran itu mengancam ‘infrastruktur penting’.
Lebih 2,000 penduduk kawasan kejiranan luar bandar di kawasan itu berada di bawah arahan pemindahan, menurut Pejabat Perkhidmatan Kecemasan California, kebanyakannya di Daerah Siskiyou.
Penduduk Yreka, Larry Castle memberitahu akhbar Sacramento Bee yang dia dan isterinya telah mengemaskan barangan dan tiga anjing mereka untuk berpindah, kerana kebakaran lain dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah mengajar mereka keadaan itu boleh bertukar ‘sangat, sangat serius’.
Jurucakap wanita bagi Pejabat Syerif Daerah Siskiyou, yang dipetik media AS, berkata kebakaran itu telah memusnahkan lebih 100 bangunan – termasuk rumah, kedai runcit dan pusat komuniti – di sekitar Yreka, walaupun ia tidak menjejaskan kawasan bandar itu yang mempunyai sekitar 7,800 penduduk. – AFP