BANGLADESH, 5 FEB –Dua orang terbunuh di Bangladesh hari ini selepas peluru mortar dilepaskan dari Myanmar semasa pertempuran di sana mendarat di seberang sempadan, ketika penduduk yang ketakutan melaporkan pertempuran sengit dan pegawai perubatan merawat beberapa orang yang cedera akibat tembakan.
Sebahagian Myanmar berhampiran sempadan sepanjang 270 kilometer dengan Bangladesh telah menyaksikan pertempuran yang kerap berlaku sejak November, apabila pemberontak Tentera Arakan menamatkan gencatan senjata yang berkuatkuasa sejak rampasan kuasa pada 2021.
Penduduk kampung Bangladesh yang tinggal berdekatan dengan sempadan berkata mereka takut dengan pertempuran, di mana agensi bantuan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) berkata mereka telah merawat 17 orang yang cedera dalam pertempuran kelmarin, ‘susulan pertempuran di sempadan Bangladesh-Myanmar.’
“Semua pesakit mengalami luka tembakan”, kata MSF hari ini. “Dua orang dalam keadaan krtikal dan lima lagi cedera parah.”
Ketua polis tempatan, Abdul Mannan berkata seorang wanita Bangladesh, bernama Hosne Ara, 48 tahun, dan seorang lelaki etnik Rohingya yang tidak dinamakan telah terbunuh petang hari ini.
“Mereka sedang duduk di dapur… apabila mortar terkena tempat itu,” kata menantu Ara, terlalu kecewa untuk memberikan namanya. – AFP