VLADIVOSTOK, 14 MAC – Dua maut manakala dua lagi mengalami kecederaan apabila sebuah helikopter Mi-8 terhempas di rantau Magadan, Rusia pada Khamis, lapor media tempatan.
“Helikopter Mi-8 itu membawa 20 pekerja dari sebuah lombong di rantau Magadan. Ia telah terhempas. Dua orang maut dan nasib yang lain tidak diketahui,” Xinhua memetik laporan agensi berita Interfax Rusia yang memetik perkhidmatan kecemasan tempatan.
Insiden itu berlaku ketika helikopter itu melakukan pendaratan sukar, 75km dari Evensk, sebuah bandar terletak di Magadan Oblast di Timur Jauh Rusia.
“Menurut data awal, semasa pemindahan pekerja yang bertukar syif di kawasan nahas, keadaan cuaca buruk dan faktor manusia turut diambil kira,” kata perkhidmatan kecemasan.
Dua helikopter penyelamat dari Kolyma Aviation telah digerakkan ke lokasi nahas dan sebuah lagi dari Kementerian Situasi Kecemasan Rusia turut dikerahkan ke sana. – Bernama